Peminat blog kami

Rabu, 25 Ogos 2010

Seni Tari Malaysia


SENI TARI


Seni tari merupakan warisan budaya yang menghiasi keunikan kaum-kaum di Malaysia sama ada orang Melayu,orang Cina,orang India,dan bumiputra Sabah dan Sarawak.Tarian-tarian yang dipersembahkan oleh kaum-kaum tersebut benar-benar eksotik dan menawan apabila ianya ditambah dengan gerak anggota badan yang dilakukan dengan lemah lembut sambil diiringi dengan bunyian muzik.Menurut ahli sejarah tarian dan muzik Jerman ,C.Sachs ,beliau telah memberikan definisi tarian sebagai gerakan yang berirama.Seni tari juga membawa maksud pengucapan jiwa manusia melalui gerak geri berirama yang indah.

Keunikan tarian-tarian di Malaysia dapat dilihat apabila kebanyakan tarian tersebut banyak dipengaruhi unsur pengaruh luar yang kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk tarian .Antara tarian yang mendapat pengaruh daripada luar ialah tarian Mak Yong Melayu yang berasal daripada Patani iaitu di selatan Thailand,tarian Kuda Kepang yang dibawa ke negeri Johor oleh pendatang Jawa dan tarian Zapin yang diperkenalkan oleh mubaligh dari Timur Tengah.Sebaliknya di Sabah dan Sarawak keunikan tarian mereka lebih terserlah kerana mereka sendiri yang mencipta tarian tersebut yang berfungsi sebagai memperingati sesuatu peristiwa atau merayakan sesuatu perayakan.Tarian Datun Julud umpamanya dicipta oleh seorang putera Kenyah bernama Nyik Selong yang bertujuan uatuk mengambarkan kegembiraan dan kesyukuran.Bagi tarian Ngajat pula dicipta untuk
menyanjung pahlawan mereka yang hebat dan gagah.


Kebiasaannya,persembahan tarian mempunyai tujuan dan maksud tertentu.Hal ini menjadikan sesuatu persembahan tarian itu menjadi semakin menarik kerana ia hanya akan ditarikan apabila berlakunya sesuatu peristiwa dan pada masa-masa tertentu.Apabila ditinjau daripada suku kaum di Sabah,persembahan tarian bagi upacara pengubatan dinamakan Magunatip dan Masayan yang akan ditarikan oleh suku kaum Kwijau dan suku kaum Dusun.Bagi suku kaum Kadazan pula,mereka akan menarikan suatu tarian tradisional yang dinamakan tarian Sumazau apabila menjalani acara –acara keagamaan dan kesyukuran selepas menuai hasil tuaian padi serta bertujuaan untuk menghindari daripada roh jahat.

Di Sarawak pula,kaum Bidayuh akan mempersembahkan tarian tolak bala yang bertujuan untuk menyemah rumah panjang yang baru siap dibina.Bagi suku kaum Melanau pula,akan mempersembahkan tarian Aluk-aluk jika berlakunyan sesuatu peristiwa kematian sebagai tanda berkabuang.Tarian ini akan dilaksanakan selama empat hari dengan tujuan untuk meredakan suasana suram dan sedih yang mengiringi sesuatu kematian.Di samping itu,tarian Ngajat akan dipersembahkan oleh suku kaum Iban semasa meraikan perayaan Gawai Kenyalang.Tarian ini ditarikan untuk majlis bersuka ria di samping meraikan pahlawan mereka yang hebat dan gagah.


Manakala di Semenanjung pula,persembahan tarian meliputi kaum-kaum terbesar di Malaysia iaitu orang Melayu ,orang Cina,orang India serta terdapat jaga tarian daripada orang asli.Tarian orang Melayu kebiasanya dipersembahkan untuk memenuhi amalan ritual seperti menyemah kampung,meraikan majlis kesyukuran,bernazar dan dalam amalan pengubatan.Antara contoh tarian yang dapat menjadi contoh ialah tarian Mak Yong,Mek Mulong,Kuda Kepang,dan tarian Zapin.Selain itu, terdapat juga tarian yang berfungsi untuk memeriahkan serta menjadi hiburan semasa temasya pesta dan keramaian perkahwinan iaitu tarian joget.Salah satu keunikan seni tarian di Semenanjung ialah silat.Walaupun umum mengetahui bahawa silat merupakan seni mempertahankan diri,namun terdapat unsur-unsur tarian yang dapat dilihat yang dikenali sebagai bunga langkah.Antara contoh silat yang mempunyai bunga langkah ialah silat Gayong dan silat Helang Putih.

 
Bagi masyarakat Cina pula,tarian yang dapat ditonjolkan ialah tarian Singa dan tarian Naga.Tarian tersebut kebiasaannya akan dipersembahkan semasa meraikan Tahun Baru Cina,pembukaan rumah baru dan premis perniagaan.Tarian tersebut dipercayai dapat membawa tuah dan kekayaan bagi tahun baru di samping untuk mengelakkan sebarang malapetaka.Dalam mempersembahkan tarian,masyarakat India mengaplikasikan tarian Bharata Natyam yang mempamerkan aksi dan gerakan yang menarik serta bersemangat.Keunikan tarian ini ialah ia menggambarkan kisah epik India purba serta memaparkan lebih daripada 100 gerakan tarian dan gaya badan.

Dalam kalangan suku kaum orang asli di Semenanjung,tarian yang dipersembahkan adalah sangat unik kerana setiap tariannya mempunyai kaitan yang rapat dengan kepercayaan kerohanian mereka.Antara tarian yang diraikan ialah tarian Genggulang yang dipersembahkan oleh suku kaum Mah Meri,tarian Berjerom yang diamalkan oleh suku kaum Jah-Hut.Manakala masyarakat orang asli dari suku kaum Semai dan Temiar pula akan mempersembahkan tarian mereka meliputi tiga upacara tertentu iaitu upacara kesyukuran apabila membuka tanah baru dan selepas menuai,upacara berkabung serta upacara semasa mengiringi pengubatan tradisi.Bagi orang asli di kampong Kuala Jengai di Terengganu pula mengamalkan tarian Saba.


Namun begitu,disaat kita berbangga mempunyai warisan seni tarian yang unik dan menggamit jiwa,hakikatnya seni warisan budaya ini semakin luput ditinggal zaman akibat berlakunya arus pembangunan moden yang semakin rancak.Perubahan ini sebenarnya amat membimbangkan apabila seni tarian tradisional ini dilihat tidak lagi popular dan semakin terhakis akibat kekurangan sambutan dalam kalangan masyarakat.Situasi ini menyebabkan terdapatnya tarian tradisi ini di ambang kepupusan dan kemungkinan akan terkubur jika tiadanya usaha untuk memeliharanya.Antara contoh tarian yang kian dilupakan ialah tarian Mak Yong Kedah dan Mek Mulong.

Pada kurun ke-21, menyaksikan bahawa seni persembahan tradisi didapati tidak mampu bersaing dengan seni persembahan moden yang dilihat semakin mengeksploitasi dunia hiburan sama ada daripada media tempatan mahupun dari Barat khususnya.Masyarakat kini lebih mengenali tarian balet,jazz,taps dan raps yang dilihat menjadi tuntutan masa sekarang serta mampu menarik perhatian umum.Malah telah wujud banyak sekolah tarian balet dan tarian moden yang lain untuk mengajarkan tarian-tarian tersebut. Antara conyoh sekolah yang telah ditubuhkan ialah Federal Academy of Ballet di bandar-bandar utama iaitu di Kuala Lumpur,Pulau Pinang,dan Ipoh.Berbanding dengan seni tarian tradisi,tidak terdapat sekolah-sekolah yang ditubuhkan untuk mengajar seni tarian tersebut.Yang adapun hanya Pusat Budaya dan Kementerian Kebudayaan,Kesenian dan Pelancongan yang mengadakan kelas untuk tarian tradisional tersebut.Namun begitu,sambutannya amat dingin dalam kalangan masyarakat.

Kesimpulannya,dalam kita mengharungi arus kemodenan ini,adalah tidak wajar kita meninggalkan seni warisan nenek moyang kita.Oleh yang demikian,satu usaha yang drastik perlu dilaksanakan bagi mengekalkan dan memelihara seni warisan ini daripada terus ditenggelami oleh arus kemodenan.Jika hal ini tidak dilakukan,suatu masa nanti seni warisan ini pasti tidak akan berfungsi lagi dalam masyarakat kelak dan akan terus terkubur.Maka yang akan wujud pada masa akan datang mengenai seni tarian tradisi ini hanyalah di muzium dan arkib Negara sebagai unsur kajian serta sejarah.

Oleh : Muhamad Naufal bin Amran (205236)





3 ulasan: