Peminat blog kami

Jumaat, 20 Ogos 2010

Dielek Rakyat Malaysia

DIALEK-DIALEK TEMPATAN DI MALAYSIA


Dialek merupakan variasi bahasa apabila variasi bahasa mudah itu difahami oleh pengguna dalam sesuatu masyarakat walaupun mempunyai pembahagian geografi. Dialek-dialek tempatan di semenanjung Malaysia sebenarnya adalah variasi daripada bahasa Melayu. Malah dalam satu-satu dialek tempatan di Malaysia. Terdapat pula, ideolek-ideolek iaitu kelainan pengucapan yang disebabkan oleh perbezaan individu dan kelainan struktur geografi yang menjadi sebagai akibat perbezaan kontek. Semua, kelainan ini disebut dialek tetapi penutur-penuturnya masih saling bersefaman antara satu sama lain. Antara dialek-dialek bahasa Melayu di Malaysia seperti dialek Utara,dialek Kelantan, dialek Terangganu ,dialek Perak,dialek Selangor-Kuala Lumpur,dialek Negeri Sembilan, dialek Melaka, dialek Pahang, dialek Sarawak dan dialek Sabah. Dialek tempatan ini merupakan kepelbagaian dialek yang dituturkan oleh sekumpulan masyarakat dalam bahasa tersebut dan keunikan di Malaysia.

Dialek dapat ditentukan oleh faktor geografi dan sosial. Perbezaan yang dapat ditonjolkan adalah dari beberapa segi iaitu sebutan, tatabahasa ,kosa kata, dan kata ganti diri. Antara dialek yang popular di Malaysia iaitu dialek Utara terbahagi kepada beberapa sub-dialek seperti Kedah, Perlis, Perak Utara, dan Pulau Pinang. Selain berbeza sebutan, terdapat juga perbezaan kata dengan jelas. Ciri utama dialek ini adalah sebutan ‘a’ dihujung kata yang dibunyikan secara baku .Huruf ‘r’ di akhir kata ganti dengan huruf ‘q’ .Contohnya, ejaan standard “ular” kepada dialek utara “ulaq” atau “telur” kepada “teloq” . Contoh ayat dalam dialek utara ialah “hang pa tak mo cakap utagha lagi ka??” (awak tidak mahu cakap utara lagi ke??). Seterusnya, dialek Perak digunakan di seluruh negeri Perak kecuali di utara Perak. Dialek Perak boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu dialek Perak Tengah, dialek Perak Selatan dan dialek Perak Timur. Kebiasaan akhiran ‘a’ dalam sesuatu perkataan akan ditukar kepada ‘e’ (e-pepet). Contoh ejaan standard “mereka” kepada dialek Perak Tengah menjadi “kome” dan “awak” mejadi “mike”. Contoh dalam ayat dialek Perak Tengah ialah “mike asyik nak meroloh kojenye ” ( awak asyik nak tidur kerjanya ).



Dialek Kelantan pula, dituturkan di negeri Kelantan dan daerah Besut, Terengganu. Terdapat juga penduduk di beberapa buah daerah di Kedah seperti di Baling, Sik dan Kuala Nerang mempunyai banyak persamaan dengan dialek Kelantan. Ciri utama dialek Kelantan adalah penggantian huruf ‘n’ dan ‘ng’ di belakang kata dengan huruf ‘e’ dan ‘o’ dan perbezaan ketara perkataan. Contoh perkataan baku “cakap” menjadi kepada “kecek” dan “saya” menjadi kepada “kawe”. Contoh dalam ayat pula, “demo nok gi mano loni ” ( awak nak pergi ke mana sekarang ). Dialek Terengganu pula, dituturkan di Terangganu kecuali daerah Besau dan sebahagian negeri Pahang. Antara ciri dialek ini ialah akhiran ‘n’ dalam sesuatu perkataan di tambah dengan huruf ‘g’ . Contoh perkataan “ makan ” menjadi kepada “makang” dan “ikan” kepada “ikang” . Contoh dalam ayat dialek Terangganu, “mung nok gi dok makang ikang??” ( awak nak pergi tak makan ikan?? ). Dialek Selangor-Kuala Lumpur lebih menggunakan bahasa yang telah dibakukan atau di standard. Ayat yang digunakan berbentuk formal, menggunakan tatabahasa yang gramatis. Contoh ayat dalam dialek ini ialah “saya hendak pergi membeli-belah di MidValley”.



Selain itu, dialek Negeri Sembilan dipengaruhi oleh Minang yang mempunyai kaitan dengan suku Minangkabau dari Sumatera. Dialek ini dituturkan di bahagian Negeri Sembilan dan kawasan Taboh Naning, Melaka. Contoh ayat dalam dialek Negeri Sembilan ialah “eden torai” ( saya cuba ) dan “apo kono ekau ” ( apa kena dengan engkau ). Dialek Melaka dituturkan dibahagian negeri Melaka kecuali di kawasan Taboh Naning. Ciri utama dialek Melaka adalah penggantian huruf ‘r’ dibelakang perkataan dengan huruf ‘u ’. Contoh perkataan dalam dialek Melaka ialah “lebar” menjadi kepada “lebau” , “ular’ menjadi “ulau” . Dialek Pahang pula, merupakan negeri yang kaya dengan pelbagai jenis dialek yang dituturkan gaya seperti Dialek Johor-Riau kerana pada ketika dahulu negeri Pahang adalah sebahagian dari jajahan Johor-Riau. Pelbagai dialek Pahang ditemui daerah-daerah di mana Sungai Pahang mengalir iaitu Hulu Sungai Pahang seperti Dialek Jerantut, Lipis, Bentong dan Raub dapat dituturkan atau berkomunikasi dengan cepat dari segi kelajuan percakapan. Pertengahan Sungai Pahang pula, seperti Dialek Temerloh dapat berkomunikasi secara sederhana dari segi kelajuan percakapan dan Hilir Sungai Pahang ialah Dialek Chenor dan Pekan dituturkan dengan perlahan dari segi kelajuan percakapan. Contoh perkataan dari dialek Temerloh ialah “koi” menjadi kepada “saya ”. Contoh ayat dalan dialek “pepalih awak nyape buat gitu” ( teruknya awak mengapa berbuat begitu ).



Di samping itu, dialek Johor-Riau dituturkan di negeri Johor dan selatan Pahang. Dialek Johor-Riau kini menjadi asas kepada pembentukan Bahasa Melayu baku atau standard di Malaysia. Ciri utama dialek ini adalah akhiran ‘a’ yang dibunyikan sebagai ‘e’. Contoh perkataan dalam dialek Johor seperti “saya” menjadi “saye” dan “berapa menjadi “berape”. Di bahagian timur Semenanjung Malaysia pula, terdapat keunikan pelbagai dialek. Dialek Sarawak merupakan dialek paling besar perbezaan dengan dialek Melayu lain di Malaysia. Dialek ini dipengaruhi oleh Bahasa Melayu Brunei, Iban, Bidayuh, Melanau dan bahasa suku-suku di Filipina. Contoh perkataan dalam dialek Sarawak seperti “saya” menjadi “kamek”, “situ” menjadi “siya” dan “ayam” menjadi “manok”. Akhir sekali Dialek Sabah mempunyai 50 bahasa dan 80 dialek dalam kira-kira 30 suku kaum di Sabah. Tidak ada dialek khusus di Sabah tetapi setiap kaum di Sabah mempunyai bahasa atau dialek tertentu. Contoh ayat dalam dialek Sabah iaitu “lumangad oku dika” ( aku rindu kepadamu ) atau “esai ngaran mo??” ( siapa nama kamu ).



Kesimpulannya, budaya dialek di setiap daerah melambangkan indentiti kaum masyarakat setempat. Budaya yang ditonjolkan oleh masyarakat mempengaruhi bahasa dalam percakapan seharian yang berbeza setiap kaum di negeri. Penggunaan bahasa mengikut kumpulan sosial geografi melambangkan kebudayaan di setiap negeri. Setelah Bahasa Melayu dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957 merupakan bahasa kebangsaan yang telah termaktub dalam perlembagaan menjadi panduan kepada semua golongan masyarakat di Malaysia menggunakan Bahasa Kebangsaan.

oleh : Muhamad Shukri bin Ismail (205303)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan