Peminat blog kami

Rabu, 25 Ogos 2010

Seni Tari Malaysia


SENI TARI


Seni tari merupakan warisan budaya yang menghiasi keunikan kaum-kaum di Malaysia sama ada orang Melayu,orang Cina,orang India,dan bumiputra Sabah dan Sarawak.Tarian-tarian yang dipersembahkan oleh kaum-kaum tersebut benar-benar eksotik dan menawan apabila ianya ditambah dengan gerak anggota badan yang dilakukan dengan lemah lembut sambil diiringi dengan bunyian muzik.Menurut ahli sejarah tarian dan muzik Jerman ,C.Sachs ,beliau telah memberikan definisi tarian sebagai gerakan yang berirama.Seni tari juga membawa maksud pengucapan jiwa manusia melalui gerak geri berirama yang indah.

Keunikan tarian-tarian di Malaysia dapat dilihat apabila kebanyakan tarian tersebut banyak dipengaruhi unsur pengaruh luar yang kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk tarian .Antara tarian yang mendapat pengaruh daripada luar ialah tarian Mak Yong Melayu yang berasal daripada Patani iaitu di selatan Thailand,tarian Kuda Kepang yang dibawa ke negeri Johor oleh pendatang Jawa dan tarian Zapin yang diperkenalkan oleh mubaligh dari Timur Tengah.Sebaliknya di Sabah dan Sarawak keunikan tarian mereka lebih terserlah kerana mereka sendiri yang mencipta tarian tersebut yang berfungsi sebagai memperingati sesuatu peristiwa atau merayakan sesuatu perayakan.Tarian Datun Julud umpamanya dicipta oleh seorang putera Kenyah bernama Nyik Selong yang bertujuan uatuk mengambarkan kegembiraan dan kesyukuran.Bagi tarian Ngajat pula dicipta untuk
menyanjung pahlawan mereka yang hebat dan gagah.


Kebiasaannya,persembahan tarian mempunyai tujuan dan maksud tertentu.Hal ini menjadikan sesuatu persembahan tarian itu menjadi semakin menarik kerana ia hanya akan ditarikan apabila berlakunya sesuatu peristiwa dan pada masa-masa tertentu.Apabila ditinjau daripada suku kaum di Sabah,persembahan tarian bagi upacara pengubatan dinamakan Magunatip dan Masayan yang akan ditarikan oleh suku kaum Kwijau dan suku kaum Dusun.Bagi suku kaum Kadazan pula,mereka akan menarikan suatu tarian tradisional yang dinamakan tarian Sumazau apabila menjalani acara –acara keagamaan dan kesyukuran selepas menuai hasil tuaian padi serta bertujuaan untuk menghindari daripada roh jahat.

Di Sarawak pula,kaum Bidayuh akan mempersembahkan tarian tolak bala yang bertujuan untuk menyemah rumah panjang yang baru siap dibina.Bagi suku kaum Melanau pula,akan mempersembahkan tarian Aluk-aluk jika berlakunyan sesuatu peristiwa kematian sebagai tanda berkabuang.Tarian ini akan dilaksanakan selama empat hari dengan tujuan untuk meredakan suasana suram dan sedih yang mengiringi sesuatu kematian.Di samping itu,tarian Ngajat akan dipersembahkan oleh suku kaum Iban semasa meraikan perayaan Gawai Kenyalang.Tarian ini ditarikan untuk majlis bersuka ria di samping meraikan pahlawan mereka yang hebat dan gagah.


Manakala di Semenanjung pula,persembahan tarian meliputi kaum-kaum terbesar di Malaysia iaitu orang Melayu ,orang Cina,orang India serta terdapat jaga tarian daripada orang asli.Tarian orang Melayu kebiasanya dipersembahkan untuk memenuhi amalan ritual seperti menyemah kampung,meraikan majlis kesyukuran,bernazar dan dalam amalan pengubatan.Antara contoh tarian yang dapat menjadi contoh ialah tarian Mak Yong,Mek Mulong,Kuda Kepang,dan tarian Zapin.Selain itu, terdapat juga tarian yang berfungsi untuk memeriahkan serta menjadi hiburan semasa temasya pesta dan keramaian perkahwinan iaitu tarian joget.Salah satu keunikan seni tarian di Semenanjung ialah silat.Walaupun umum mengetahui bahawa silat merupakan seni mempertahankan diri,namun terdapat unsur-unsur tarian yang dapat dilihat yang dikenali sebagai bunga langkah.Antara contoh silat yang mempunyai bunga langkah ialah silat Gayong dan silat Helang Putih.

 
Bagi masyarakat Cina pula,tarian yang dapat ditonjolkan ialah tarian Singa dan tarian Naga.Tarian tersebut kebiasaannya akan dipersembahkan semasa meraikan Tahun Baru Cina,pembukaan rumah baru dan premis perniagaan.Tarian tersebut dipercayai dapat membawa tuah dan kekayaan bagi tahun baru di samping untuk mengelakkan sebarang malapetaka.Dalam mempersembahkan tarian,masyarakat India mengaplikasikan tarian Bharata Natyam yang mempamerkan aksi dan gerakan yang menarik serta bersemangat.Keunikan tarian ini ialah ia menggambarkan kisah epik India purba serta memaparkan lebih daripada 100 gerakan tarian dan gaya badan.

Dalam kalangan suku kaum orang asli di Semenanjung,tarian yang dipersembahkan adalah sangat unik kerana setiap tariannya mempunyai kaitan yang rapat dengan kepercayaan kerohanian mereka.Antara tarian yang diraikan ialah tarian Genggulang yang dipersembahkan oleh suku kaum Mah Meri,tarian Berjerom yang diamalkan oleh suku kaum Jah-Hut.Manakala masyarakat orang asli dari suku kaum Semai dan Temiar pula akan mempersembahkan tarian mereka meliputi tiga upacara tertentu iaitu upacara kesyukuran apabila membuka tanah baru dan selepas menuai,upacara berkabung serta upacara semasa mengiringi pengubatan tradisi.Bagi orang asli di kampong Kuala Jengai di Terengganu pula mengamalkan tarian Saba.


Namun begitu,disaat kita berbangga mempunyai warisan seni tarian yang unik dan menggamit jiwa,hakikatnya seni warisan budaya ini semakin luput ditinggal zaman akibat berlakunya arus pembangunan moden yang semakin rancak.Perubahan ini sebenarnya amat membimbangkan apabila seni tarian tradisional ini dilihat tidak lagi popular dan semakin terhakis akibat kekurangan sambutan dalam kalangan masyarakat.Situasi ini menyebabkan terdapatnya tarian tradisi ini di ambang kepupusan dan kemungkinan akan terkubur jika tiadanya usaha untuk memeliharanya.Antara contoh tarian yang kian dilupakan ialah tarian Mak Yong Kedah dan Mek Mulong.

Pada kurun ke-21, menyaksikan bahawa seni persembahan tradisi didapati tidak mampu bersaing dengan seni persembahan moden yang dilihat semakin mengeksploitasi dunia hiburan sama ada daripada media tempatan mahupun dari Barat khususnya.Masyarakat kini lebih mengenali tarian balet,jazz,taps dan raps yang dilihat menjadi tuntutan masa sekarang serta mampu menarik perhatian umum.Malah telah wujud banyak sekolah tarian balet dan tarian moden yang lain untuk mengajarkan tarian-tarian tersebut. Antara conyoh sekolah yang telah ditubuhkan ialah Federal Academy of Ballet di bandar-bandar utama iaitu di Kuala Lumpur,Pulau Pinang,dan Ipoh.Berbanding dengan seni tarian tradisi,tidak terdapat sekolah-sekolah yang ditubuhkan untuk mengajar seni tarian tersebut.Yang adapun hanya Pusat Budaya dan Kementerian Kebudayaan,Kesenian dan Pelancongan yang mengadakan kelas untuk tarian tradisional tersebut.Namun begitu,sambutannya amat dingin dalam kalangan masyarakat.

Kesimpulannya,dalam kita mengharungi arus kemodenan ini,adalah tidak wajar kita meninggalkan seni warisan nenek moyang kita.Oleh yang demikian,satu usaha yang drastik perlu dilaksanakan bagi mengekalkan dan memelihara seni warisan ini daripada terus ditenggelami oleh arus kemodenan.Jika hal ini tidak dilakukan,suatu masa nanti seni warisan ini pasti tidak akan berfungsi lagi dalam masyarakat kelak dan akan terus terkubur.Maka yang akan wujud pada masa akan datang mengenai seni tarian tradisi ini hanyalah di muzium dan arkib Negara sebagai unsur kajian serta sejarah.

Oleh : Muhamad Naufal bin Amran (205236)





Selasa, 24 Ogos 2010

Batik Malaysia


Batik Malaysia


Sejarah batik

Batik merupakan satu bidang kraftangan satu yang unggul di Malaysia. Sejak abad ke-15 masihi manusia sudah mula menjalankan kegiatan pembuatan batik secara tradisional. Dimana masyarakat dahulunya menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap. Di Alam Melayu,sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenalkan sejak tahun 1770-an.Batik mula diperkenalkan di negara Malaysia khususnya di Kelantan pada tahun 1910. Batik berasal dari Indonesia dan perkataan batik terbit dari perkataan Jawa “tik” yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Di Malaysia kebanyakan perusahaan kilang batik banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu. Kini pelbagai dasar-dasar dilaksanakan untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti batik di peringkat global.



Pendefinisian Batik



Seni batik adalah satu kaedah reka bentuk dan pencorakan tekstil yang diasaskan daripada penggunaan lilin dan bahan pewarna samada penggunaan pewarna dari alam semulajadi mahupun pewarna moden. Lilin merupakan bahan utama yang digunakan sebagai pemisah warna samaada dilukis menggunakan canting mahupun yang diterap

menggunakan blok-blok motif ke atas permukaan tekstil. Kemudiannya warna

disampaikan kepada tekstil samada dengan kaedah celupan atau menggunakan berus.

Keistimewaan dan keunikan seni batik terletak pada ciri yang berlainan bagi corak dan

kesan yang terhasil oleh kerana itu tidak ada sehelai batik yang sama dengan yang lain

sekalipun menggunakan canting, blok cap dan warna yang sama.



Dalam hal ini

Asharil Duhardi Abdullah menjelaskan bahawa:

“Istimewanya seni batik kerana batik merupakan salah satu seni tradisi

budaya yang lahir dan berkembang di kepulauan Melayu serta berkaitan

dengan pakaian para penduduknya. Motif yang sering menghiasi ruang

badan sesebuah kain sarung sudah semestinya motif-motif etnik. Setiap

daerah yang menghasilkan batik sabagai bahan keperluan harian pastinya

mempunyai motif-motif etnik yang perlu diangkat dan dikembangkan agar

ia kekal dan diketahui oleh setiap generasi baru. Batik tradisional ini

mempunyai makna simbolik yang tinggi dan penggunaannya didasarkan

pada status sosial pemakai dalam masyarakat daerah tertentu.”



Motif




Motif ialah corak-corak hiasan yang digunakan dalam proses melukis dan menerap batik. Batik transorarial Danijel menggunakan teknik menerap dan melukis. Terdapat dua bentuk utama motif iaitu motif organik dan geometrik. Motif organik melibatkan penggunaan unsur-unsur alam semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan dan bunga manakala motif geometrik lebih tertumpu kepada corak bentuk-bentuk geometrik seperti segi tiga, segi empat dan sebagainya.

Contoh motif organik:

1.Motif Ayam

2.Motif Bunga Buluh

3.Motif Bunga Kerak Nasi

4.Motif Bunga Kotak Bercampur

5.Motif Bunga Orkid

6.Motif Bunga Raya

7.Motif Daun Sireh

8.Motif Geometrik

9.Motif Pucuk Rebung

10.Motif Rama-rama

11.Motif Siput



Contoh Motif Geometrik.

1.Motif Pucuk Rebung

2.Motif Bunga Kotak Bercampur

 

Corak


Corak ialah bagaimana motif-motif yang dipilih dicorakkan di atas kain batik tersebut. Corak terdiri daripada gabungan motif-motif organik mahupon geometrik dilukis di atas akin batik tersebut.

Jenis-jenis corak yang digunakan

1.Corak Berdiri

2.Corak Jalur

3.Corak Melintang

4.Corak Menyeluruh

5.Corak Menyerong

6.Corak Tompok-tompok

   7.Corak Ulangan Batu-bata



Perubahan aliran Batik


Pada masa kini, batik telah berkembang melampaui dunianya dengan melalui

proses pemodenan konsep, teknik dan falsafah. Sebagaimana masyarakat dan

kebudayaan yang sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman, seni membatik juga turut berubah.

Daripada keindahan yang hanya terdapat pada pakaian yang

menunjukkan status si pemakainya, batik telah berpindah

konsepnya mengikut konsep tradisi kesenian Barat iaitu catan batik yang menjadi hiasan-hiasan dinding galeri atau pejabat,

hotel-hotel atau juga sebagai hiasan-hiasan dinding ruang tamu rumah-rumah

masyarakat pertengahan.

Perubahan bentuk dan fungsi batik terjadi kerana adanya faktor perubahan

zaman, penggantian generasi, pengaruh kebudayaan barat dan teknologi moden.

Perubahan bentuk dan fungsi seni batik moden merupakan cerminan dari keperluan dan apresiasi masyarakat moden.

Dengan adanya keistimewaan teknik pembuatannya serta

harmoni susun atur motif yang melambangkan masyarakat Melayu membolehkan pelukis-pelukis moden mengarap dan merakamkannya kedalam sebuah cerminanlukisan. Rakaman dan lorekan ini semata-mata sebagai satu usaha untuk menonjolkanidentiti dan usaha mencari identiti.

Alatan batik

  




• Blok penerap

• Campuran lilin

• Kain (mestilah kain berwarna putih)

• Pencelup

• Sebuah meja

Kain benang kapas berwarna putih paling sesuai digunakan untuk membuat batik. Selepas diterap dengan lilin pertama, ia akan dicelup dengan warna yang gelap sedikit. Setelah itu, ia akan diterap untuk kali kedua dan kemudian dicelup dengan warna yang lebih gelap. Proses ini akan diteruskan hingga habis. Kain ini akan direbus dalam air yang mengandungi soda. Apabila direbus, warna-warna yang berlainan akan kelihatan. Kain batik ini kemudiannya akan dijemur hingga kering. Kain-kain batik yang sudah kering, akan digosok, dilipat dan dibungkus untuk dipasarkan.










Penjenisan Kain Batik

Batik terbahagi kepada tiga jenis.

Batik Blok
Kain putih akan diterapkan dengan corak batik yang menggunakan blok corak. Blok corak diperbuat daripada kayu atau logam. Proses ini dilakukan berulang-ulang dengan mengikut susunan yang tertentu sehinggalah selesai. Di mana blok itu telah dicelupkan terlebih dahulu ke dalam pewarna sebelum ditekapkan di atas kain tersebut.

Batik Conteng

Alat canting digunakan bagi melakar corak batik dengan lilin panas di atas kain putih. Setelah kerja-kerja melakar selesai, proses mewarna mengikut kesesuaian corak dilakukan dengan menggunakan berus cat, dimana bahagian-bahagian yang terkena lilin itu tidak akan meninggalkan kesan warna apabila proses mematikan warna di lakukan. Lilin akan cair dan tanggal menjadikan bahagian-bahagian ini berwarna putih sebagai benteng.

Batik Skrin

Batik skrin ini tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan batik blok dan conteng. Hanya kaedah melakar corak dan cara menerapkan warna sahaja yang berbeza. Corak batik dibentuk di atas skrin yang diperbuat daripada kain polyster yang berpengidang. Skrin dilekapkan di atas kain putih, proses pewarnaan dengan melalukan warna di atas corak tadi dengan menggunakan sekuji. Cara begini akan diulang beberapa kali dengan corak yang berlainan untuk mendapatkan corak batik yang lengkap. Ini disebabkan satu skrin untuk satu warna sahaja.

Penggunaan


Penduduk di negara kita menggunakan batik secara meluas. Batik digunakan untuk membuat baju, kain sarung atau batik lepas. Sebagai contoh, pakaian seragam pramugari kapal terbang MAS dibuat daripada batik. Batik juga digunakan dalam majlis-majlis formal dan majlis keramaian. Selain dibuat pakaian, batik juga digunakan sebagai hiasan seperti alas meja, cadar, sarung kusyen, tudung kepala, alas televisyen dan lain-lain lagi. Batik boleh dibeli dengan harga yang murah dan berpatutan. Batik begitu digemari pelancong-pelancong asing kerana coraknya yang menarik dan unik. Ia sering dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.



Pertandingan Piala Seri Endon

Piala Seri Endon diambil sempena nama allahyarham Tan Sri Endon. Acara ini mula diperkenalkan pada tahun 2003 dengan tujuan untuk mencungkil dan menampilkan bakat-bakat baru dan lama pereka fesyen batik tempatan khususnya dari Malaysia untuk diketengahkan di peringkat Antarabangsa.
Pada awal perkenalan di Bukit Bintang,Kuala Lumpur pada tahun 2003 hanya satu kategori dipertandingkan iaitu "Fesyen".Kini pelbagai kategori baru diperkenalkan termasuklah kraftangan dan "Soft Furnishing". Pertandingan ini berjaya memikat hati masyarakat untuk menjadi peserta termasuklah golongan pelajar,pembuat batik,pereka fesyen,
pengeluar tekstill,dan juga artis.
Piala Seri Endon dikendalikan oleh Penyayang iaitu Yayasan Budi Penyayang dengan kerjasama dari Kementerian Kebudayaan,Kesenian dan Warisan.




oleh : NurHafizah binti Mohd Yusof Christopher(205152)
















Permainan Tradisional Malaysia

PERMAINAN TRADISIONAL DI MALAYSIA
Terdapat banyak permainan tradisional di Malaysia,antaranya wau,sepak raga,congkak,gasing dan batu seremban.Boleh di katakan setiap negari mempunyai permainan tradisional untuk dimainkan oleh rakyatnya.Permainan tradisional telah dimainkan sejak zaman berzaman,ia bertujuan untuk memberi keseronokan selepas penat bekerja.Sekarang permainan tradisional sudah kurang dimainkan oleh anak muda zaman sekarang kerana persaingan dengan permainan yang lebih canggih.Oleh itu,dinyatakan di bawah asal usul permainan,cara membuat,cara bermain dan peraturan-peraturannya.
WAU
Latar Belakang Wau
Teraju tiga sememangnya sinonim dengan wau, juga dikenali sebagai layang-layang di negeri-negeri sebelah pantai barat semenanjung. Sebagai permainan masa lapang bagi kalangan rakyat biasa dan golongan istana. Sejak zaman-berzaman sekitar kurun kelima belas, wau telah dimainkan oleh orang Melayu. Mereka telah mempercayai ada kaitan di antara semangat angin dan langit.
Perkataan “wau” dikatakan berasal dari perkataan Thailand memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut.
Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja, dan tidak pula disebut bermain wau.
Selain itu kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi “wau’, “wau’, “wau’ secara berirama.
Permainan layang-layang atau wau amat digemari oleh penduduk-penduduk kampung. Permainan ini dimainkan semenjak lebih 500 tahun yang lalu. Wau masih digemari dan dimainkan di kawasan-kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Musim bermain wau adalah buluh yang diraut halus yang ditampalkan dengan kertas berwarna mengikut bentuk rangka. Wau bukan sahaja dimainkan tetapi dipertandingkan yang dititikberatkan ialah kecantikan rupa, kemerduan bunyi dan tinggi serta keindahan naiknya.
Permainan wau atau pun lebih dikenali layang-layang suatu ketika dahulu lebih popular di kawasan pedalaman seperti di kawasan pantai dan kawasan lapang seperti di padang, sawah padi dan sebagainya.
Kini permainan tersebut telah mulai popular dan diminati oleh pelbagai kaum termasuklah mereka yang menetap di kawasan bandar. Bukan itu sahaja, ia telah diperkenalkan hingga ke peringkat antarabangsa seperti di Pasir Gudang Kite Festivals International Guests yang diadakan pada setiap tahun. Sambutan festival ini juga sangat memberangsangkan terutamanya peserta dari luar negara.
Sejarah Wau Malaysia
Kedatangan permainan wau di Malaysia tidak dapat dipastikan kesahihan tarikh serta asal-usulnya. Walau bagaimanapun menurut sejarahwan Clive Hart, layang-layang di Malaysia berasal dari negara China. Ini kerana rekabentuk serta karektor mempunyai persamaan dengan layang-layang tradisional dari negara China
Layang-layang pada masa dahulu menggunakan daun kayu yang lebar. Kemungkinan evolusi layang-layang di Malaysia juga turut menyerap unsur-unsur kebudayaan dari negara China.
Mitos Permainan Wau
Permainan wau dikaitkan dengan mitos ‘Semangat Padi’ yang berasal dari utara Semenanjung Malaysia iaitu di negeri Kedah.
Diceritakan bahawa ada sepasang suami isteri di negeri tersebut yang bekerja sebagai petani di sebuah kaki bukit dengan menanam padi huma. Ketika mereka sedang menanam padi, mereka terjumpa seorang bayi perempuan lalu dipeliharanya bayi tersebut sehinggalah dewasa. Oleh kerana suaminya ingin mengucapkan syukur dan terlalu menyayangi anak gadisnya itu maka beliau selalu membawakan makanan ke tempat anak gadisnya bermain iaitu di baluh padi.
Perbuatan suaminya itu telah menyebabkan sang isteri merasa sangat cemburu. Disebabkan perasaan cemburunya itu dia telah menyiksa anak gadisnya sehingga melarikan diri mengikut arah mata angin barat. Akibatnya, pada tahun itu juga padi yang telah dikerjakan tidak menjadi. Menurut Tok Nujum yang ditemui menyatakan bahawa anak gadis mereka sebenarnya adalah ‘Semangat Padi’ dan menasihatkan petani tersebut sebagai tanda meminta maaf mereka dikehendaki membuat sebuah lembaga yang menyerupai Wau Bulan dan diterbangkan dengan tali jerami.

Jenis-jenis Wau


  1.  Wau Bulan

  2. Wau kucing

  3. Wau daun

  4. Wau helang

  5. Wau Jalabudi

  6. Wau kenyalang

  7. Wau merak

  8. Wau puyuh

  9. Layang-layang

Berbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah, wau barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan. Rekacorak bermotifkan awan larat pada kebiasaannya adalah menghiasi kebanyakan wau yang dihasilkan dengan berwarna-warni. Kelantan dan Terengganu sehingga kini masih mengekalkan tradisi pembuatan wau yang menarik, selain dijadikan untuk permainan ianya juga sebagai hasil kraftangan dan hiasan dinding.
Bahagian Perincian Wau
Terdapat lima komponen asas bagi sebuah wau tradisional iaitu terdiri daripada kepala wau, busur atau dengung, sayap wau, torek atau bahagian pinggang dan ekor wau.
Teknik Pembuatan Wau Tradisional

Antara bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk membuat wau ialah buluh, kulit rotan, gam daripada pokok kayu dan lain-lain keperluan yang bersesuaian untuk menghasilkan sebuah wau. Selain daripada itu, kepakaran dan kemahiran juga merupakan aspek utama untuk menghasilkan sebuah wau yang bermutu seperti kepakaran dalam pemilihan bahan mentah, kemahiran kraftangan serta pengetahuan di dalam bidang aerodinamik. Bagi memastikan wau yang akan dihasilkan mempunyai kualiti, bahan mentah seperti buluh terutamanya perlu dipilih dengan lebih teliti. Oleh itu terdapat beberapa petua serta pantang-larang yang terlibat semasa ingin menebang dan menyimpan buluh tersebut.
Petua dan Pantang Larang Pemilihan Buluh Mencari dan Menebang Buluh
1. Rumpun buluh mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, bukan di dalam semak atau dusun.
2. Pilih buluh yang kelihatan kering, seelok-eloknya di tengah rumpun.
3. Jangan tebang buluh yang mempunyai pucuk muda kerana buluh tersebut mempunyai banyak kanji dan mudah diserang serangga perosak.
4. Buluh yang condong ke arah matahari naik adalah lebih baik kerana mempunyai semangat yang kuat menurut kepercayaan orang tua-tua.
5. Keadaan cuaca kering dan panas adalah sangat sesuai untuk menebang buluh seperti di waktu tengahari.
6. Jika menebang buluh pada waktu pagi, pastikan penebang menindih bayangnya.
7. Sebelum menebang buluh, digalakkan membaca doa dan selawat terlebih dahulu
8. Adalah lebih baik buluh yang sudah ditebang dipotong di situ juga.
9. Petua orang tua-tua di Kelantan pula semasa membawa balik buluh yang sudah ditebang, akan meninggalkan pesan kepada Sang Bubuk iaitu, “Wahai Sang Bubuk, hak aku tinggal ini adalah hak mu, hak aku wat kelik ni ialah hak aku, mu tok sah ikut akulah, mu make hok sini”.
10. Penyimpanan Buluh Buluh akan disimpan dahulu sekurang-kurangnya setahun sebelum diraut menjadi rangka wau. Biasanya tempat penyimpanan mestilah tinggi untuk mengelakkan buluh daripada dilangkah manusia. Antara petua-petua yang digunapakai untuk memastikan buluh tersebut tahan dan kuat ialah :-
1. Buluh disimpan di dalam paya atau direndam di dalam selut.
2. Buluh ditanam di dalam pasir dan dinyalakan unggun api di atasnya selama satu jam.
3. Menyalai kepingan buluh pada bara api.
Meraut Buluh Buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti ruas dan kulit. Selain itu tujuannya adalah untuk memberi keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Pisau khas digunakan untuk meraut dan mestilah benar-benar tajam bagi memastikan kerja-kerja tersebut dapat dijalankan dengan mudah dan mengelakkan daripada kesilapan. Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti :-
1. Bahagian tulang belakang diraut sehingga 1.0 sentimeter dengan kadar lembut dan sederhana keras.
2. Bahagian bilah sayap di kedua-dua bahagian diraut sehingga 1.5 sentimeter dan semakin halus di hujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa.
3. Bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian juga perlu diraut sehingga 0.5 sentimeter.
4. Raut bilah-bilah buluh untuk bahagian pinggang dan bulatan berbentuk bulan. Rautan di bahagian tersebut adalah lebih nipis dan bersaiz kecil 0.5 sentimeter untuk memudahkan ia dibentuk.
5. Selepas semua buluh diraut, proses seterusnya ialah semua bilah tersebut akan digosok pula dengan kertas pasir.
Membuat Bingkai Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu tulang belakang, tulang rentas sayap, rangka sayap dan rangka ekor. Buluh yang sudah diraut akan dipotong mengikut ukuran wau yang dikehendaki iaitu dua keping buluh untuk sayap, satu keping untuk tulang belakang dan dua keping lagi untuk rangka ekor. Kepingan buluh yang hendak dibuat sayap perlulah diseimbangkan dengan menandakan di tengah-tengah kepingan buluh.
Proses Mengikat Rangka Bingkai Wau
1. Tulang belakang wau diukur kepada 3 bahagian dan kemudiannya ditanda 3 bahagian tersebut.
2. Bahagian sayap wau akan diikat terlebih dahulu
3. Sayap yang sudah diikat akan diikat pula pada tulang belakang
4. Ikat di bahagian atas dan bawah ekor pada tulang belakang. Pastikan bahagian tersebut seimbang di kedua-kedua belah.
5. Cantumkan hujung bahagian ekor kemudian tautkan pada hujung bahagian sayap
6. Untuk bahagian pinggang terutamanya jenis wau bulan, kepingan buluh ditaut membentuk separa bulatan pada bahagian sayap dan ekor wau. Seterunya kepingan buluh yang diraut lebih nipis dibentuk menjadi bulatan untuk diikat di tengah pinggang wau. Saiznya ditentukan dengan mengikut nisbah iaitu bersamaan dengan keluasan kepala wau.
7. Proses terakhir ialah membuat kepala wau iaitu dengan mengikat separuh daripada kepala wau dengan sayap dengan jarak 2 inci dari tulang belakang.
Proses Memasang Tanah Wau
Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil ‘tanah’ akan dipasang pada wau. Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih kenyal dan tidak ditembusi angin. Pemasangan melibatkan beberapa langkah :-
1. Ukur kertas dengan saiz bingkai.
2. Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan dua sentimeter dari rangka bingkai.
3. Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk ‘V’.
4. Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji.
Mengukur, Melukis dan Menyobek Corak
Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara elemen utama yang menjadikan wau tersebut unik dan istimewa. Antara langkah-langkah yang terlibat :
1. Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap, dan lipat dua untuk bahagian ekor.
2. Mulakan melukis dari bahagian dada sehingga ke hujung sayap dengan mengosongkan satu ruang kosong untuk ruang tapak kijang, bagi bahagian ekor pula, corak yang hendak dilukis mestilah sama dengan corak di bahagian sayap.
3. Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini menjadi corak asas bagi wau.
4. Corak akan ditampal pada kertas warna lain, biasanya warna emas dengan menyapu gam di belakang kertas corak. Gam perlu dicampur dengan air terlebih dahulu untuk elakkan daripada berkedut. Kertas bercorak akan diletakkan di atas kain lembap. Kertas berwarna diletakkan perlahan-lahan ke atas kertas corak dan kemudiannya diratakan dengan menggunakan seterika panas di atas kain lembap tadi.
5. Potong semula corak yang hendak disobek dan tampal sekali lagi dengan kertas berlainan warna sehingga siap sepenuhnya.
6. Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam kanji pada bahagian tepinya sahaja.
Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam menggunakan berus lukisan. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang wau untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau. Berlainan pula dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang tidak menyerap air. Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan dan ukiran sobek hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan yang mempunyai sehingga lapan warna.
Proses Membuat Serta Memasang Jambul atau Rambu
Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau - Teraju Tiga.
Jambul atau rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau. Diperbuatdaripada kertas ‘crepe’ yang dipotong dengan gunting secara memanjang untuk membentuk rambu.
Proses Membuat Serta Memasang Belalai
Menggunakan bahan yang sama dengan jambul tetapi dipasang pada kepala wau. Wau tradisional mempunyai keunikannya yang tersendiri. Warisan tradisional ini haruslah dikekalkan kerana ia adalah identiti budaya bangsa Melayu dan juga sebuah negara. Kini permainan wau mulai popular di kalangan masyarakat bandar dan tidak lagi terhad di luar bandar sahaja. Bukan itu sahaja, permainan wau ini juga telah dimodenkan dan mula memasuki peringkat antarabangsa. Selain wau, layang-layang juga amat diminati sebagai salah satu aktiviti pada waktu terluang.
Cara bermain wau dan kawasan yang sesuai.

Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.
Wau hendaklah dimainkan di kawasan yang lapang seperti di tepi pantai, di kawasan sawah padi atau di padang kawasan tepi pantai merupakan kawasan yang paling sesuai untuk menerbangkan wau. kawasan yang tidak sesuai bermain wau ialah dikawasan yang tidak lapang, banyak bangunan, pokok, tiang elektrik atau tiang telefon.
3 unsur yang mempengaruhi kenaikan wau Tekanan angin Apabila tekanan angin di permukaan wau semakin kuat, maka kemampuan untuk naik tinggi semakin meningkat.

  • Daya tarikan graviti 

  • Tarikan graviti ialah daya yang menarik wau ke bawah.

  • Daya seretan.


Wau akan mengundur ke belakang apabila permukaan wau mendapat tekanan yang tinggi. Hal ini akan mewujudkan daya seretan. Permainan wau tradisional Melayu adalah dimainkan menggunakan satu tali sahaja. Penggunaan satu tali membolehkan wau ini mudah diterbangkan dan dikawal. Terdapat dua cara melancarkan atau menaikkan wau iaitu, pelancaran jarak dekat dan pelancaran jarak jauh. Tali yang digunakan adalah tali tangsi.
Teknik menaikkan wau jarak dekat

Teknik ini sesuai bagi wau yang bersaiz kecil dan ringan. Hanya seorang sahaja diperlukan untuk melancarkan teknik ini. Pemain berdiri membelakangkan angin. Sebelah tangan pemain akan memegang badan wau dan dihadapkan ke arah angin. Sebelah lagi tangan memegang gelung tali. wau dilepaskan perlahan-lahan sehingga wau naik tinggi ke udara.
Mengawal penerbangan
Tiupan angin yang tidak meneru menyebabkan pemain perlu mengawal penerbangan wau. Mengawal penerbangan wau penting untuk mengelakkan wau jatuh ke tanah atau mengelakkan tali wau terputus. Terdapat dua kemungkinan tiupan angin, iaitu angin beriup lemah dan angin bertiup kuat. Apabila angin bertiup lemah, pemain mesti menggulung tali wau supaya wau tersebut tidak jatuh ke tanah.
Teknik menurunkan wau.
Menurunkan wau memerlukan dua pemain, iaitu seorang penarik tali dan seorang lagi penggulung tali. Penarik tali ialah orang yang menarik talu wau manakala penggulung tali ialah orang yang menggulung tali wau yang telah ditarik oleh penarik tali. Permainan wau laga merupakan perlawanan memutuskan tali wau pihak lawan. Ia memerlukan kepantasan, tumpuan dan kemahiran yang tinggi. Bahagian tali wau ini disalut dengan serpihan kaca halus.
Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.
SEPAK RAGA

Permainan sepak raga wujud sejak 600 tahun lalu. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, selain dimainkan oleh golongan bangsawan, rakyat jelata juga menggemari permainan ini. Dalam sejarah Melayu menceritakan tentang Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.
Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis.
Cara Bermain

Dalam permainan sepak raga, beberapa pemain berdiri dan membentuk satu bulatan. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan.
Menimang Bola


Permainan ini memerlukan ketangkasan dan kecekapan fizikal serta ketajaman mata untuk mengukur pergerakan. Matlamat setiap pemain ialah memantapkan kemahiran menerima hantaran bola raga dan menimangnya dengan selesa selama yang mungkin. Jangka masa permainan tidak ditentukan kecuali dalam pertandingan yang lazimnya dianjurkan sebagai acara berpasukan. Pasukan yang berjaya membuat timangan paling banyak dalam suatu tempoh yang ditetapkan, dikira menang.

Pada masa ini sepak raga tiada lagi dimainkan, ianya telah ditukar dengan nama kepada sepak takraw. Sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring, seperti dalam permainan badminton. Pasukan sepak takraw terdiri daripada tiga pemain. Tekong melakukan sepak mula dan mengawal bahagian belakang gelanggang. Apit kiri dan apit kanan mengawal bahagian hadapan gelanggang dan memikul tugas utama mematikan bola di gelanggang lawan.
CONGKAK

Congkak sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji congkak, biji getah, biji guli dan lain-lain. Di utara semenanjung ianya dipanggil juga Jongkok.
Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tetapi tidak pasti asalnya, samada pengaruh luar telah datang bersama pedagang atau sememangnya telah dicipta oleh orang Melayu ketika itu.
Cara membuat permainan
Lazimnya dibuat dari kayu hutan seperti merbau, keruing, balau dan sebagainya. Terdapat juga papan congkak yang dibuat dari kayu rambutan, nangka dan sebagainya, mengikut kemampuan si tukang pembuat congkak.
Cara membuat congkak:
1. Kayu ditebang menggunakan kapak dan dipotong mengikut kepanjangan papan congkak yang bergantung kepada lubang rumah yang dihasilkan kelak.
2. Kayu yang masih buah dibelah dua bahagian. Hanya satu bahagian sahaja yang diperlukan dalam membuat congkak.
3. Setelah dibelah, gergaji digunakan untuk mengerat lebihan kayu yang tidak terpakai. Parang atau pahat digunakan untuk melicinkan batang kayu tersebut.
4. Kayu tersebut akan dipahat untuk membuat lubang. Lubang-lubang ditebuk dalam dua baris dan dinamakan ‘kampung’ yang mempunyai jumlah bilangan tertentu.
5. Ditebuk satu lubang besar di kedua-dua hujung yang dikenali sebagai ‘rumah’.
6. Pahat bermata halus digunakan untuk melicinkan lubang tersebut. Ini penting supaya tidak menggelikan jari-jari pemain sewaktu bermain.
7. Setelah siap, papan tersebut akan diukir dengan pelbagai hiasan seperti bentuk tumbuh-tumbuhan, kosmos, geometri dan sebagainya.
8. Papan congkak divarniskan dengan warna perang kekuningan, perang kemerahan, perang atau hitam.
Congkak juga dihasilkan daripada logam ataupun tanah di kawasan pendalaman. Tempurung kelapa digunakan supaya tangan tidak kotor terkena tanah.
Papan Congkak
Peralatan yang digunakan untuk bermain congkak biasanya diperbuat daripada batang pokok kayu besar yang diukir seperti perahu. Disebelah hujungnya diukir bentuk kepala pelbagai haiwan seperti burung manakala dibahagian badan papan diukir dengan pelbagai ukiran Melayu. Lubang sebesar 9sm. garis pusat dan 7sm. dalam ditebuk atas permukaan papan tersebut. Sekiranya permainan congkak di tanah, lubang digali dan kemudian diletak tempurung kelapa supaya tangan tidak kotor terkena tanah.
Lubang-lubang congkak dibuat dalam dua barisan selari antara satu sama lain yang disebut kampung. Pada penghujung kampung terdapat sebuah lubang besar dan dalam dinamakan rumah. Jumlah kampung yang biasa terdapat pada papan congkak ialah lima, tujuh atau sembilan sebaris. Kampung-kampung ini diisikan dengan buah congkak sama banyak.
Cara Bermain


Dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan dengan kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.
Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut.
Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati.
Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.
GASING

SEJARAH PERMAINAN GASING
ASAL USUL
Unsur seni dan permainan adalah keperluan asas kehidupan manusia di dunia dan tidak mungkin dapat dipisahkan daripada kehidupan masyarakat. Masyarakat Melayu tradisional juga tidak ketinggalan dalam soal ini. Dalam menjalankan aktiviti kehidupan sara diri mereka telah mengisi masa lapang dengan pelbagai kegiatan yang dapat menghiburkan hati. Antara kegiatan yang dilakukan ialah bermain gasing. Gasing bukan sahaja menjadi permainan orang dewasa malah turut dimainkan oleh golongan remaja dan kanak-kanak. Mereka bermain gasing untuk beradu kemahiran, kecekapan, kepantasan, dan kerjasama berpasukan. Disamping
itu, mereka juga dapat mengeratkan hubungan sesama mereka dan berpeluang berbincang tentang pelbagai perkara. Terdapat pelbagai cerita yang timbul berkaitan asal-usul permainan gasing dan inilah yang menyebabkan corak permainan gasing berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Terdapat cerita yang mengaitkan asal permainan gasing ini dengan buah berembang. Buah berembang mudah diperoleh di tepi-tepi pantai berbentuk bulat, agak leper dan licin. Ia pula mudah dipusing dengan tangan. Buah yang lama dan ligat pusingannya dikira menang. Bagi ahli silat, satu daripada latihan menguatkan tangan ialah memusingkan
buah berembang. Lama-kelamaan timbul ilham meniru bentuk buah ini dan diperbuat daripada kayu. Pemusing akan cuba memusingkannya dengan tangan seligat yang mungkin. Ketika ligat ia disebut "gah", yang bermakna tegak dan kuat semasa berpusing. daripada istilah inilah
dikatakan bermulanya permainan gasing.
Menurut seorang tua di Kulim, Kedah, permainan gasing berasal daripada permainan "laga telur" yang dimainkan oleh kanak-kanak. Menurutnya, kanak-kanak ketika itu begitu asyik memusingkan dan melagakan telur. Jadi, timbul idea mengukir kayu dalam bentuktelur dan dipasangkan paksi. Seutaas tali digunakan untuk memusingkannya kerana memusingkan
dengan tangan kurang ligatdan pusingannya tidak tahan lama.
Seorang pemain gasing veteran, yang tinggal di kawasan pinggir Sungai Pahang berkata bahawa permainan gasing ini bermula dengan penciptaan alat memburu binatang yang berbentuk leper dan bulat. Apabila dilemparkan alat ini berpusing ligat dan melayang sebelum mengenai binatang buruan. Mereka kemudian menggunakan tali untuk mendapatkan pukulan yang lebih kuat. Dari sinilah mereka menggunakannya sebagai satu cara untuk menguji kecekapan seseorang itu mencampakkannya dan mengenai sasaran. Alat tersebut kemudian direka bentuk sedemikian rupa hinggalah seperti bentuk seperti gasing yang terdapat pada hari ini
Gasing popular di Semenanjung terutama di Kelantan. Orang dewasa yang memajukan seni permainan ini, bagi kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan.
Jenis-jenis Gasing
Jenis gasing yang terdapat di Malaysia termasu
k gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.
Membuat Gasing

Kayu yang paling sesuai dari spesis merbau, seperti merbau tanduk, merbau darah, merbau johol dan merbau keradah, ianya mudah dilarik tetapi tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau, koran, sepan, penaga, keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang mudah didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering digunakan untuk membuat gasing.
Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan besi paksi dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi bulatnya dapat dilakukan ketika melarik.
Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir dilakukan, seperti melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat lagi gasing itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian kepala gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing leper atau untuk gasing uri sahaja.
Cara Bermain


Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing.
Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.
Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.
Pertandingan Gasing
Pertandingan gasing uri berbeza dengan gasing pangkah. Gasing uri lebih bersifat individual, manakala gasing pangkah bersifat kumpulan.
Gasing Uri

Dua orang pembantu diperlukan dalam pertandingan gasing uri; seorang memegang cokok dan seorang lagi memegang lopok. Cokok diperbuat daripada kayu dan berbentuk leper seperti sudip, kira-kira 60 cm panjang. Lopok juga diperbuat danipada kayu tetapi berbentuk torak atau pun seperti pancang, 45 cm panjang. Di hujung lopok itu dilekatkan logam bergaris pusat 4-5 cm. Tempat permainan atau arena gasing dipanggil bong. Bong berbentuk bulat, bergaris pusat kira-kira 3.25 meter, dan dibuat di atas tanah yang keras.
Gasing yang berpusing dipindahkan oleh jong (juru) cokok ke atas lopok yang telah dicacakkan di atas tanah. Gasing yang berpusing paling lama dikira pemenang pertandingan. Biasanya gasing uri berupaya berpusing lebih daripada satu jam.
Gasing Pangkah
Gasing jenis ini pula dimainkan secara berkumpulan. Setiap pasukan terdiri daripada dua hingga lima orang. Untuk menentukan pasukan menanti dan pasukan memangkah, peraduan uri diadakan, antara gasing-gasing yang mewakili pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.

Pasukan yang gasingnya paling lama berpusing menjadi pasukan memangkah pertama. Permainan dimulakan dengan pasukan menanti melemparkan gasing mereka ke tengah-tengah bong. Kemudian pasukan memangkah pula memangkah gasing mereka. Tiap-tiap gasing pasukan memangkah mesti mengetuk salah satu gasing pasukan menanti. Tujuannya ialah sama ada memecahkan gasing lawan ataupun sekurang-kurangnya menjejaskan keseimbangan pergerakannya supaya cepat berhenti berpusing.
Dalam perlawanan gasing ini, setiap pasukan mempunyai jong cokok. Selesai pemangkahan, gasing-gasing di dalam bong itu dicokokkan dan dipindahkan ke atas lopok, seperti dalam pentandingan gasing uri. Jika salah satu gasing pihak menanti berpusing lebih lama, pihak itu tidak diberi markah tetapi ditukarkan menjadi pemangkah. Pasukan yang memangkah tadi kini menjadi pasukan menanti pula.
BATU SEREMBAN
Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih.
Guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat biasanya digunakan oleh kanak-kanak dalam permainan ini sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah.
Permainan ini sering dimainkan diwaktu lapang, di serambi rumah, di dalam rumah atau dimana sahaja yang mereka gemari dengan memerlukan permukaan yang rata dan bersih. Para pemain hendaklah duduk di atas lantai, dengan cara begini memudahkan permainan tersebut dimainkan.
Menentukan Giliran
Sebelum permainan dimulakan, seorang demi seorang pemain dikehendaki menimbang buah, bagi mendapatkan mata sebagai penentuan siapa yang akan bermain dahulu sebagai pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Cara menimbang buah adalah dengan kesemua buah diletakkan di atas tapak tangan dan dilambung keudara, kemudiannya hendaklah disambut pula dengan belakang tapak tangan. Jumlah buah yang dapat disambut itu adalah dikira sebagai mata.
Cara Bermain
Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepada peringkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.
Buah Satu
Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas lantai, berkeadaan buah-buah itu tidak bersentuhan antara satu dengan yang lain. Sebiji buah diambil untuk dijadikan ibu, dan ibu hendaklah dilambungkan keudara, dalam masa yang sama sementara buah ibu masih berada diudara, sebiji lagi buah hendaklah dikutip. Dalam masa yang sama pemain hendaklah menyambut buah ibu, apabila telah disambut sebiji buah hendaklah digenggam di dalam tangan yang sebelah lagi. Perlakuan begini dibuat berterusan sehingga kesemua buah di atas lantai itu habis dilambung dan disambut.
Buah Dua
Cara buah dua dimainkan adalah serupa seperti buah satu, tetapi buah yang dikutip mestilah dengan dua biji serentak, ini bermakna hanya dua kali lambungan buah ibu dilakukan.
Buah Tiga
Buah tiga pula terdapat sedikit perbezaan. Langkah pertama adalah dengan mengutip sebiji buah dahulu, pada lambungan kali kedua pemain hendaklah mengutip tiga biji buah serentak.
Buah Empat
Pemain mengutip kesemua empat biji buah di atas lantai dan dalam masa yang sama hendaklah menyambut buah ibu yang telah dilambungkan.
Buah Lima
Diperingkat ini urutan dari memainkan buah empat, sementara di dalam tangan tergenggam lima biji buah, sebiji dari buah hendaklah dilambungkan dan empat biji buah baki hendaklah diletakkan di atas lantai pula serta menyambut buah ibu sahaja.
Buah Enam
Ditahap buah enam terdapat perbezaan, ianya juga dinamakan buah tukar dimana dua biji buah dijadikan buah ibu. Apabila sebiji daripadanya dilambungkan ke udara maka sebiji lagi buah ibu itu hendaklah ditukarkan dengan buah lain yang terdapat di atas lantai, sehingga selesai.
Buah Tujuh
Buah tujuh adalah urutan dari peringkat permainan buah enam. Dua biji buah yang masih berada di dalam tangan hendaklah dilambungkan serantak. Sementera itu sebiji buah hendaklah dikutip. Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua belah tangan, sebiji disebelah kanan dan sebiji lagi disebelah kiri. Pada buah ibu yang terakhir dilambungkah hendaklah juga disambut.
Menimbang
Setelah selesai kesemua peringkat dilalui, pemain hendaklah menimbang buah untuk mendapatkan mata. Menimbang buah diperingkat ini ada dua kaedah. Cara pertama sama seperti permulaan menentukan pemain, mata dikira hanya mengikut bilangan biji buah yang dapat ditimbang. Tetapi jika buah yang ditimbang itu disambut dengan cara mencangkuk, maka mata dikira sekali ganda dari jumlah biji buah yang dapat disambutnya.
Sekiranya pemain dapat bermain sehingga keperingkat menimbang dengan memperolehi mata, maka pemain tersebut boleh meneruskan permainan semula, buah satu dan seterusnya sehingga mati.
Mati Permainan

Sekiranya ibu tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai tangan mengenai biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga ibu jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji buah ianya dikira mati (permainan ditamatkan) dan permainan akan diserahkan kepada pemain seterusnya.
 oleh: Ahmad Norshafik bin Mazi(205437)